Site icon Sabah Baru News

Belum ada keputusan besarkan Kabinet Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung cadangan membesarkan Kabinet Sabah setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


Beliau ditanya sekiranya ada perbincangan pihak kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mempertimbangkan untuk memasukkan pihak pembangkang negeri ke dalam Kabinet.


Ini berikutan wakil rakyat dari parti pembangkang tempatan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan peringkat Persekutuan.


Menurutnya, perkara itu akan difikirkan jika ada keperluan untuk melaksanakannya.


Ditanya adakah undang-undang membenarkan untuk membesarkan Kabinet negeri, Hajiji menjelaskan perkara itu perlu pindaan Perlembagaan Negeri Sabah terlebih dahulu.


“Kita perlu pinda Perlembagaan Negeri terlebih dahulu kalau ada keperluan,” katanya kepada media selepas Program Jalinan Strategik  Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dengan Pentadbiran Daerah ‘Seiring Sejalan’ di sini hari ini.


Berikutan pembentukan kerajaan perpaduan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri.


Situasi berkenaan turut membawa kepada ‘kemungkinan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang PH Sabah menjadi menteri dalam Kabinet yang dibesarkan di bawah GRS.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version