Site icon Sabah Baru News

Jangan ‘memandai-mandai’ hingga projek pembangunan gagal disiapkan: Hajiji

KOTA KINABALU: Penjawat awam terutama pegawai daerah diingatkan supaya tidak ‘memandai-mandai’ dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan hingga mengakibatkan banyak projek gagal disiapkan mengikut jadual ditetapkan.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap pegawai daerah yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk menyiapkan projek pembangunan di negeri ini.


“Kita akui peranan pegawai daerah penting, tetapi jangan memandai-mandai. Selaku Ketua Menteri, saya akan terus memantau perkara ini termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap pegawai daerah.


“Saya menerima laporan daripada orang ramai bahawa ada pegawai yang sememangnya pandai tetapi ada juga yang memandai-mandai dengan menganggap diri sebagai raja atau sultan di daerah masing-masing.


“Saya tegaskan, ‘I am going to be tough’ (saya akan jadi lebih keras) dengan semua pegawai daerah. Jangan marah saya sebab macam-macam laporan kita terima (projek tidak siap),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Jalinan Strategik  Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dengan Pentadbiran Daerah ‘Seiring Sejalan’ di sini hari ini.


Hajiji berkata, sekiranya ada laporan yang diterima benar berlaku, pihaknya tidak akan teragak-agak  untuk ambil tindakan terutama kepada penjawat awam yang tidak memenuhi aspirasi atau tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.


“Jangan fikir CM (Ketua Menteri) bagus sepanjang masa, lemah lembut. CM ada tempoh tiga tahun lagi dan mulai sekarang saya mahu lebih berkeras kepada penjawat awam.


“Saya harap supaya program-program kerajaan yang mahu dilaksanakan di peringkat daerah sama ada melalui SEDIA atau dari kementerian mestilah dilaksanakan mengikut jadual.


“Saya amat sedih kerana dalam laporan program pembangunan kita tahun ini sama seperti tahun lepas hanya sekitar 60 peratus projek terlaksana,” jelasnya.


Sehubungan itu, beliau turut meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Seri Panglima Safar Untong supaya menyemak permohonan projek dari kementerian.


Pihaknya mahu perkara berkenaan diberi perhatian serius berikutan laporan dari Kementerian Kewangan tahun ini menunjukkan prestasi projek pembangunan di Sabah tidak memberangsangkan.


Menurutnya, projek pembangunan yang gagal siap mengikut jadual akan merugikan rakyat sekali gus membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.


“Rakyat akan marah kerajaan..marah CM, sedangkan yang gagal melaksanakan projek itu mungkin di peringkat pegawai-pegawai kerajaan.


“Justeru, saya selaku Pengerusi SEDIA berharap agar perkara ini diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Panglima Hashim Paijan berkata, Program Jalinan Strategik dengan Pentadbiran Daerah yang diadakan itu sempena Mesyuarat Ke-35 SEDIA adalah bagi meraikan pentadbiran daerah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang terjalin dalam melaksanakan pembangunan di negeri Sabah.


Katanya, majlis itu juga menjadi platform untuk mengukuhkan lagi kerjasama di antara SEDIA dengan agensi pelaksana inisiatif di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) seperti Majlis Perbandaran, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil di seluruh Sabah.


Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan penghargaan kepada Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Noorliza Awang Alip; Presiden Majlis-Majlis Perbandaran, Pegawai-Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil.


Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Aisyah Narudin

Exit mobile version