Site icon Sabah Baru News

Peraturan EU sengaja halang akses pasaran, kata TPM

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengkritik peraturan baru Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan beberapa produk dan komoditi dikaitkan dengan pembasmian dan pengurangan hutan.


Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, peraturan itu sengaja menyasarkan komoditi seperti minyak kelapa sawit, balak, koko dan getah, dan menjejaskan perdagangan bebas dan adil.


“Peraturan produk bebas pembasmian hutan adalah tindakan disengajakan oleh Eropah untuk menyekat akses pasaran, menjejaskan pekebun kecil dan untuk melindungi pasaran domestik minyak sayuran yang tidak cekap dan tidak dapat bersaing dengan kos minyak sawit.


“Peraturan ini juga boleh menyebabkan peningkatan harga makanan dan mengurangkan pengeluaran ketika inflasi dunia mencatat rekod tertinggi,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, negara-negara akan diletakkan mengikut ranking seperti tinggi, standard atau risiko rendah dalam peraturan itu dengan sekatan produk yang ditentukan oleh peraturan itu.


“Ia umpama satu serangan terhadap Malaysia sekiranya minyak sawit atau negara diletakkan sebagai risiko tinggi oleh peraturan itu. Tiada justifikasi mengenai perkara itu,” katanya.


Fadillah berkata, justifikasi EU untuk mengharamkan produk itu adalah tanpa bukti kukuh, ketika minyak sawit Malaysia antara minyak sayuran yang paling diperakui di dunia.


“Standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sudah menjanjikan komitmen Malaysia dalam standard kelestarian yang menyeluruh.


“Malaysia akan terus menyediakan produk minyak sawit yang mampan dan bebas penebangan hutan kepada pengguna Eropah dan di seluruh dunia,” katanya.


EU mencapai satu perjanjian pada 6 Dis lalu untuk mengharamkan pengimportan produk yang dikenalpasti sebagai “pemacu pemusnahan hutan”, sekiranya ia datang dari tanah hutan yang ditebang selepas 31 Dis 2020.


Apabila undang-undang baru itu dikuatkuasakan, semua syarikat berkaitan perlu mematahui beberapa peraturan ketat sekiranya mahu memasarkan produk mereka di pasaran EU.

EDITOR

Exit mobile version