Site icon Sabah Baru News

Semangat perpaduan, saling menghormati menyatukan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menasihatkan agar sikap toleransi, hormat-menghormati dan persefahaman antara satu sama lain perlu dikekalkan berikutan semangat perpaduan itulah yang menyatukan rakyat Sabah.


Katanya dalam tempoh penganut Kristian meneruskan tradisi berkumpul bersama keluarga tahun ini, semua pihak tanpa mengira kepercayaan dan agama perlu bersyukur dengan nikmat yang dikecapi.


“Marilah kita terus mengekalkan rasa hormat, kestabilan dan harmoni yang dibina kerana semangat muhibbah inilah yang menyatukan kita,” katanya dalam Perutusan Krismas tahun ini.


Beliau berkata tempoh berdepan kesan pandemik COVID-19 adalah sukar dan tidak mudah bagi semua bagaimanapun beliau menghargai semangat rakyat Sabah yang bangkit menghadapi cabaran berkenaan.


“Tidak dilupakan pasukan barisan hadapan yang berkorban memerangi pandemik COVID-19, termasuk anggota keselamatan yang menjalankan tugas tidak kira masa di lapangan  dalam memastikan keselamatan rakyat dan negara terpelihara.


“Marilah kita menghargai jasa murni mereka termasuk petugas yang tidak dapat pulang menyambut Krismas bersama keluarga, luangkan sedikit masa untuk menghargai segala pengorbanan yang tidak terhingga ini,” katanya.


Katanya Krismas adalah masa untuk bergembira, berkat, memberi dan saling memaafkan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat. 


“Janganlah kita melupakan golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version