Site icon Sabah Baru News

Naratif perkauman, ekstremisme PH bakal makan diri?

Naratif ekstremisme dan perkauman yang ditujukan kepada orang Melayu oleh parti-parti kerajaan bagi menyerang Perikatan Nasional (PN) dijangka memakan diri, kata seorang pakar hubungan etnik.

Mansor Mohd Noor daripada Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, naratif perkauman itu diadakan bagi mempertahankan pembentukan kerajaan dengan kerjasama Umno yang didakwa melakukan kleptokrasi. 

“Mereka menafikan orang Melayu menolak Umno yang sudah menjadi simbol kleptokrasi, kemudian mereka mahu terbalikkan perbahasan ini kepada ekstremisme,” katanya.

 

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan PH sudah tidak lagi menyebut soal kleptokrasi dan penyamun dalam kempen ceramah mereka di Padang Serai. 

Selain itu, usaha membawa naratif perkauman turut dijaja Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil yang bertemu pengurusan aplikasi TikTok bagi menghalang kandungan berbaur perkauman.

Di media sosial, penyokong PH turut mengaitkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dengan ekstremisme.

Kedua-dua organisasi pendidikan itu dikelolakan oleh PAS.

Menurut Mansur yang mengkaji aspek hubungan kaum di Malaysia, pengundi Melayu beralih arah kepada PN kerana mereka mahukan tadbir urus baik dan integriti. 

Namun, satu lagi aspek mengapa berlaku peralihan undi Melayu kepada gabungan itu ialah naratif negara bangsa yang tidak difahami pemimpin PH. 

“Mereka yang mengundi PAS bukanlah orang masjid atau tok lebai,” katanya.  

EDITOR

Exit mobile version