Site icon Sabah Baru News

Restoran tular ‘tikus jilat ayam goreng’ diarah tutup 14 hari

Tangkap layar seekor tikus sedang menikmati ayam goreng di dalam pemanas makanan di sebuah restoran.

PUTRAJAYA – Sebuah premis kedai makan yang videonya tular di media sosial berikutan terdapat seekor tikus sedang menjamah ayam goreng diarah tutup serta-merta selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan berhubung video yang tular dan mengenal pasti lokasi premis terlibat berada di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Pasukan penguat kuasa kesihatan BKKM dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terlibat semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan. Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

“Di samping itu, sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham turut menyarankan pengguna untuk memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu selera di luar rumah.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 23 Disember lalu melaporkan tentang sebuah restoran yang menjadi tular apabila seorang pelanggan merakam kejadian di mana seekor tikus dilihat sedang enak menikmati ayam goreng yang diletakkan di dalam pemanas makanan di premis itu.

KOSMO! ONLINE

Exit mobile version