Site icon Sabah Baru News

Letak jawatan Ketua Menteri awal Januari tidak benar – Sulaiman

SULAIMAN MD. ALI

MELAKA: Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang didakwa bakal berlaku awal Januari ini dinafikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu.

Penafian dibuat Sulaiman itu adalah kali kedua selepas khabar angin sama bertiup kencang Mei lalu.

“Tidak betul,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan, Sulaiman akan meletak jawatan pada 3 Januari 2023 untuk memberi laluan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Terdahulu, pada 12 Mei 2022, Utusan Malaysia melaporkan, setelah hampir seminggu kerajaan negeri dilanda spekulasi pemaksaan peletakan jawatan Ketua Menteri, Sulaiman akhirnya bersuara menjernihkan keadaan.

Dalam kenyataan khas dari Sarajevo, Bosnia and Herzegovina, Sulaiman berkata, beliau ketika ini masih menjawat posisi Ketua Menteri, serta akan terus berkhidmat dengan sehabis baik, sedaya upaya selagi mana dikehendaki pucuk pimpinan.

Beliau menafikan telah meletak jawatan dan menegaskan ia adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

UTUSAN

Exit mobile version