Site icon Sabah Baru News

Bimbang terjejas air pasang, 6 beranak bermalam dalam kereta

SANDAKAN: Bimbang laluan ke rumahnya terjejas akibat fenomena air pasang di sebuah perkampungan atas air di sini, sebuah keluarga enam beranak mengambil langkah bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam tadi.


Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang terletak berhampiran kawasan darat di Kampung Forest pada kira-kira 9 malam apabila mendapati paras air laut mulai meningkat.


“Kami risau jambatan (ke rumah) roboh nanti, susahlah kami turun (keluar rumah),” katanya ketika ditemui di kampung itu.


“Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (malam Sabtu lepas). Jadi, tiada lampu di sana.”


Riden berkata, dia sekeluarga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain milik keluarganya tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air telah surut.


“Mana yang kita boleh selamatkan, kita selamatkanlah … kita sangkakan tiada lagi air pasang kembali begini dalam,” katanya.


Seorang lagi penduduk Kampung Forest Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi, sebaliknya menumpang rumah saudara yang berada pada paras kedudukan tinggi.


Jelasnya, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.


Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, katanya, bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian Sabtu lepas.


Seorang bapa saudaranya juga bertindak tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.


Pada Sabtu lepas, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.


Setakat ini, seramai 684 orang mangsa, melibatkan 122 keluarga, ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2.

BERNAMA

Exit mobile version