Site icon Sabah Baru News

Pemilihan UMNO tidak akan gugat kestabilan kerajaan – Nazri

KUALA LUMPUR: Perubahan kepemimpinan UMNO sekiranya pemilihan parti diadakan khususnya membabitkan dua jawatan tertinggi, tidak akan menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.


Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan.


“Saya tidak fikir kalau ada perubahan dalam UMNO (selepas pemilihan parti), maka kita tidak akan bersama dengan PH, saya tidak fikir begitu kerana kita sudah membuat perjanjian.


“Jadi, kalau kata ada perubahan di UMNO mungkin akan beri kesan kepada kerajaan, saya tidak fikir ia akan berlaku kerana pertama sekali kita sudah menandatangani (perjanjian) sebagai satu kumpulan bersama dengan PH,” katanya kepada BH.


Isu membabitkan pemilihan UMNO timbul selepas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata, parti itu akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun depan.


Katanya, UMNO akan semakin hilang arah dan identiti perjuangan jika ada usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan.


Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan, beliau sendiri akan memastikan tidak akan berlaku pengkhianatan dalam Kerajaan Perpaduan jika berlaku perubahan pimpinan UMNO.


“(Pembentukan kerajaan) dibuat atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi, janganlah kita mengatakan mempertahankan institusi kesultanan, tetapi pada masa sama, titah Tuanku tak nak dengar.


“Tidak akan berlaku ketidakstabilan politik dan saya sebagai orang lama dalam UMNO akan pastikan tidak akan berlaku pengkhianatan kepada perjanjian ini dan penderhakaan kepada kehendak Tuanku.


“Kita tidak akan membelakangkan keputusan PRU15 yang dikehendaki pengundi, yang meletakkan PH sebagai parti terbesar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.


Pada 16 Disember lalu, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Gabungan itu membabitkan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN).

— Mohd Iskandar Ibrahim

Exit mobile version