Site icon Sabah Baru News

Krismas disambut sederhana di Penampang

PENAMPANG: Sambutan Krismas di daerah ini diraikan dengan lebih sederhana tanpa sebarang acara di pekan Donggongon, namun tetap dimeriahkan dengan acara sembahyang di gereja, berkumpul bersama keluarga terdekat dan rumah terbuka.


Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedict menghadiri acara pemberkatan di Gereja St Michael pada Hari Boxing, diikuti dengan lawatan rasmi bertemu komuniti Gereja Nativity Kampung Terawi.


Beliau bertemu Rektor Fr. Michael Modoit, penolong rektornya dan pemimpin-pemimpin gereja mengenai infrastruktur di sekitar premis dan juga kampung berkenaan.


Ewon turut membincangkan fungsi Kementeriannya sambil menggalakkan masyarakat membentuk koperasi yang akan bergiat aktif dalam industri makanan seperti pengeluaran ayam dan telur bagi mengurangkan kos sara hidup.


Beliau berkata Kementeriannya juga akan membantu semua belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.


Pada hari sama, Kampung Potuki yang diketuai oleh ketua kampung Christopher Jinni aka DJ Otto mengadakan acara Krismas yang diceriakan dengan lagu dan hadiah untuk kanak-kanak dan warga emas.


Pada malam sebelum Krismas, kedai makan popular di kampung, MySulap, mengadakan final pertandingan lagu Kadazan Dusun, yang disertai penyanyi muda sehingga Tambunan dan Papar, dengan peserta wanita dari Tambunan bergelar juara dan naib juara.


Syvilina Bily muncul juara, dan membawa pulang hadiah tunai RM2,000, manakala rakan karibnya Keyrolina Roger menerima RM1,200.


Di tempat ketiga ialah Syra Olivia Rayner, dengan Joel Moikon dan Jester Jeffrey di tempat keempat dan kelima.


Selain hadiah wang tunai, kesemua finalis menerima trofi dan sijil. Penganjur HKN, kelab penyanyi veteran Kadazan yang diketuai oleh komposer terkenal Rollis Mitol, berkata semua finalis akan diberikan tajaan rakaman lagu Kadazan baharu di sebuah studio tempatan.

— Oswald Supi

Exit mobile version