Site icon Sabah Baru News

Lebih banyak bantuan kewangan untuk pelajar Sabah

KEMENTERIAN Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan mampu memberi lebih banyak bantuan dan sokongan kepada institusi pendidikan, tahun depan, berikutan jumlah keseluruhan RM43 juta, peningkatan RM8 juta berbanding 2022.


Menterinya Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata tujuh program bantuan pendidikan akan diteruskan selain beberapa program baharu, mulai tahun depan.


“Tujuh bantuan pendidikan yang akan diteruskan pada 2023 ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (institut pengajian tinggi) Secara One-Off (Budi) yang diperuntukkan RM10 juta untuk memanfaatkan seramai 5,000 pelajar dengan bantuan RM1,500 untuk Diploma dan RM2, 000 untuk Ijazah.


“Kedua, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) di mana peruntukan RM8 juta untuk memanfaatkan sasaran 40,000 pelajar yang akan menduduki SPM, STPM dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) dengan bayaran sekali bayar RM200 seorang. 


“Ketiga, Bantuan Ihsan Komputer Kepada Pelajar (BAIK) dengan peruntukan RM2 juta untuk memanfaatkan 1,000 pelajar. 


“Keempat Bantuan Aktiviti Guru dan Ibu Bapa Sabah (Bagus) dengan peruntukan RM3 juta untuk 1,500 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan bantuan sekali bayar RM2,000 setiap satu,” katanya. 


Yang kelima ialah Anugerah Khas Kecemerlangan Pelajar (Aksa) dengan pembiayaan RM100,000 di mana bayaran insentif sebanyak RM2,000/RM5,000 di peringkat Kebangsaan dan RM4,000/RM6,000 di peringkat Antarabangsa. 


 “Bantuan pendidikan keenam ialah Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (Bistari) dengan peruntukan RM2 juta diberikan untuk memanfaatkan 10,000 bayi keluarga B40 dan M40 yang dilahirkan pada 2023 dengan memberikan simpanan RM200 dalam SSPN (Sijil Simpanan Pendidikan Nasional).


“Ketujuh, Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah) merupakan bantuan dalam bentuk penyediaan peralatan sekolah seperti komputer, mesin pencetak, dan perabot antara lain kepada 1,600 sekolah kebangsaan dan sekolah agama dengan peruntukan RM12 juta,” katanya. 


Bagi inisiatif bantuan pendidikan baharu yang lain untuk tahun depan, Dr Arifin berkata yang pertama ialah Bantuan Pendidikan Khas yang juga dikenali sebagai Bantu iaitu bantuan kewangan untuk persatuan dan warga pendidik melaksanakan program bagi memajukan pendidikan di Sabah dengan peruntukan RM500,000. 


Beliau berkata kedua ialah Bantuan Penyelenggaraan Sekolah Kecil yang dinamakan Balkis di mana RM3 juta diperuntukkan untuk bantuan penyelenggaraan dan penambahbaikan kecil di sekolah yang menelan belanja RM50,000 atau kurang.


Dr Arifin berkata penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah (Semesta), bertujuan menjadi badan perhubungan yang mendengar suara pelajar Sabah. 


“Semesta telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 30 Oktober tahun ini dan ia merupakan badan perantara dalam menyampaikan maklumat berhubung dasar kerajaan negeri Sabah kepada persatuan pelajar Sabah.


“Ia juga bagi memastikan pergerakan dan aktiviti persatuan pelajar Sabah di seluruh Malaysia dan dunia selari dengan hala tuju SMJ. 


“Melalui Semesta, persatuan pelajar juga boleh membantu menyediakan maklumat pelajar bagi melengkapkan Sistem Maklumat Pendidikan Sabah (SIPS) yang sedang dibangunkan oleh kementerian,” katanya.


Dr Arifin berkata ketika ini sukatan pelajaran murid Tahun Satu telah digantikan dengan Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) mulai 2011 dan objektifnya berbeza mengikut mata pelajaran. 


Secara keseluruhannya, DSKP telah dapat melahirkan murid yang telah mencapai penguasaan tahap 3 (tahap minimum penguasaan mata pelajaran). 


Beliau berkata penulisan untuk Tahun Satu hanya melibatkan penulisan asas dan tidak terlalu membebankan murid. Contohnya, tambah beliau, gambar bola diberikan dan murid diminta menulis nama objek dalam gambar tersebut.


Mengenai perancangan Kementerian untuk mengatasi masalah kekurangan guru khususnya dalam Bahasa Inggeris dan Matematik, Dr Arifin berkata KPM sentiasa memberi penerangan mengenai kekurangan guru termasuk di Sabah kepada agensi pendidikan kerajaan seperti Institut Pendidikan Guru (IPG), Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

 Maklumat sedemikian disampaikan kepada agensi tersebut untuk mengambil lebih ramai guru pelatih dan seterusnya menyerap mereka ke Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

Exit mobile version