Site icon Sabah Baru News

Sabah harus sedia ambil alih pengurusan feri Labuan

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah harus bersedia mengambil alih pengurusan feri laluan Labuan-Menumbok yang diswastakan, jika rundingan antara Kementerian Pengangkutan dan pengusaha feri menemui kebuntuan. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, langkah pengusaha feri ro-ro menaikkan harga tambang kenderaan persendirian antara 42.5 hingga 73.3 peratus mulai 1 Januari depan adalah kurang wajar ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi. 


“Kita memahami kehendak pengusaha feri, kerana mereka mahu menambah keuntungan, tapi kerajaan perpaduan yang baru dibentuk harus selari dengan misinya untuk mengatasi kos sara hidup rakyat. 


“Jika pihak pengusaha feri bertegas untuk tidak menurunkan kadar tambang baharu itu, maka Kerajaan Negeri perlu ada inisiatif lain untuk mengambil alih operasi pengangkutan itu di bawah seliaan Jabatan Laut,” katanya dalam kenyataan, Khamis.


Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji isu tersebut kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai. 


Bagaimanapun, katanya, jika alasan pengusaha feri itu relevan, kerajaan mungkin perlu memberikan subsidi minyak kepada pengusaha sebagai langkah mengekalkan harga tambang sedia ada. 


Masiung mencadangkan, jika kerajaan bersetuju, pengguna kenderaan juga boleh diberikan subsidi tambang seperti mana diberikan kepada penumpang individu sebelum ini.


Rabu lepas, Bernama melaporkan Pengerusi Labuan Mainland Sdn Bhd, Datuk Chin Hong Voi berkata, kenaikan itu bagi menampung kos penyelenggaraan, termasuk harga bahan api dan pelaksanaan gaji minimum.


Kenaikan tambang tersebut iaitu 42.5 peratus melibatkan kenderaan persedirian dan komersial, manakala 73.3 peratus melibatkan motosikal berkuasa tinggi. 


Bagaimanapun, katanya, kenaikan tambang itu tidak melibatkan kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler. 


Jelasnya, empat feri milik syarikat itu melakukan 5 hingga 8 perjalanan sehari. 

— EDITOR

Exit mobile version