Site icon Sabah Baru News

Rapatkan saf, kerjasama dan ketepikan perbezaan: Hajiji

KOTA KINABALU: Masyarakat pada hari ini perlu merapatkan barisan atau saf, bekerjasama dan mengetepikan sebarang perbezaan supaya boleh terus melakukan terbaik untuk Sabah. 


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sempena menyambut Tahun Baharu ini, banyak perkara yang boleh disyukuri.


“Bahang pilihan raya telah reda dan kerajaan perpaduan persekutuan yang baharu telah pun dibentuk.


“Marilah kita semua bersatu terus ke hadapan dan fokus kepada pemulihan ekonomi. Masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya dalam satu Amanat Tahun Baharu 2023 di sini, hari ini.


Beliau berkata, 2022 merupakan tahun yang baik dan kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 


Katanya, kejayaan dikecapi Sabah adalah bukti bahawa negeri ini berada di landasan yang betul. 


“Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963.


“Kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk berpuas hati. Kami akan terus melaksanakan dasar yang kukuh untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini dan mewujudkan lebih banyak ‘spin-offs’ ekonomi seperti yang dibuktikan dalam Belanjawan Negeri 2023 bernilai RM5.138 bilion yang diluluskan baru-baru ini, yang terbesar dalam sejarah negeri,” katanya.


“Sabah juga dijangka mengutip hasil tambahan RM2.45 bilion setahun dalam bentuk royalti dan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada minyak dan gas.


“Kami akan meneruskan momentum ini dan menetapkan sasaran kepada lebih banyak peluang yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor di seluruh negeri,” katanya.


Menurutnya, semua kejayaan dan perancangan masa depan ini tidak akan bermakna jika Sabah tidak mempunyai persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan. 


Katanya, bagi memastikan keadaan ini, adalah penting untuk semua pihak mempunyai kestabilan politik. 


“Kita mesti menghalang sebarang bentuk perpecahan yang hanya akan memisahkan kita. Kita melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu dalam kepelbagaian dan melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita.


Hajiji berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Salam hormat kepada semua rakyat Malaysia di Sabah. Saya mengucapkan selamat Tahun Baharu 2023 kepada anda semua,” katanya.

— EDITOR

Exit mobile version