Site icon Sabah Baru News

Tiada lagi kedai nombor ekor di Kedah

PETALING JAYA: Tiada lagi premis perjudian dan loteri di Kedah selepas operasinya ditamatkan sepenuhnya semalam.


Ia susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai 1 Januari 2023.


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan diputuskan sejak November 2021 itu.


“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah, bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada yang masih beroperasi.


“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Dis dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi,” katanya menurut Harian Metro.


Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah 14 Nov 2021, Sanusi mengumumkan negeri itu tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri.


Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri berkenaan selain bagi mencapai sasaran sifar judi.


Bagaimanapun, ia mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa tindakan kerajaan negeri melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia, sehingga menyebabkan Sanusi meminta mereka membeli nombor ekor di negeri lain.

EDITOR

Exit mobile version