Site icon Sabah Baru News

Pembangunan rumah ibadat di Kadamaian akan terus jadi fokus

KOTA BELUD: Pembangunan rumah-rumah ibadat kawasan Kadamaian akan terus menjadi antara fokus berterusan.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, keperluan pembangunan rumah-rumah ibadat antara yang paling banyak dikemukakan oleh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian selain keperluan pembangunan infrastruktur serta utiliti.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu dan Kesyukuran Sekolah Rendah Advent (SRA) Gaur, di sini, semalam.


“Dalam kunjungan terakhir saya ke Geraja SDA Gaur sebelum wabak COVID-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya telah menyalurkan peruntukan membina dewan terbuka untuk gereja SDA Gaur yang juga digunakan oleh SRA Gaur.


“Selepas dua tahun tidak dapat mengadakan sambutan Tahun Baharu, kini kita dapat menggunakan kemudahan dewan yang dibina daripada peruntukan yang saya sediakan sebelum ini. 


“Saya maklum dengan keperluan kemudahan bersama Gereja SDA dan sekolah SRA Gaur yang dikemukakan kepada saya dan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk melengkapkan dewan ini dan membina konkrit laluan kereta dalam kawasan gereja ini,” katanya.


Turut hadir Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Demis Rumanti dan Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian Carlye Lajimin.


Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan ahli-ahli gereja dan penduduk kampung untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan termasuk perusahaan kecil, penjaja dan perniagaan kecil di kampung.


“Saya sentiasa mengingati tanggungjawab saya sebagai Wakil Rakyat Kadamaian dan Penampang di mana saya ditempatkan sekarang sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. 


“Saya berharap rakyat di kawasan ini juga turut sama mengambil bahagian dalam sektor keusahawanan sepertimana di kawasan-kawasan lain di seluruh negara,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version