Site icon Sabah Baru News

Umno perlu kerjasama dengan PAS untuk bangkit, kata Nik Abduh

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS berkata Umno perlu bekerjasama dengan parti itu sebagai rakan gabungan untuk bangkit selepas merekodkan keputusan terburuk pada PRU15 lalu.


Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berkata parti itu lebih mendahului yang lain dalam komitmennya untuk Islam.


“Umno masih dua kumpulan. Kumpulan mana yang akan memimpin nanti, saya konsisten mengajak mereka untuk bersama PAS membina negara.


“Antara pantang saya, masuk campur urusan dalaman orang,” katanya di Facebook.
Selepas PRU15 Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan bersama parti gabungan lain.


Umno tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan hanya memenangi 30 kerusi berbanding gabungan itu yang memperoleh 74 kerusi.


“Segala salah faham boleh diselesaikan. Kemenangan besar bukan dengan membunuh, tetapi dicapai dengan perdamaian.


“Politik negara telah menzahirkan pelbagai kepelikan. Ia bermaksud tiada yang mustahil dalam politik. Biarlah kalau mulut kuat sembang. Jangan pula muka yang tersembam,” katanya.


Sementara itu, Nik Abduh berkata jenama Barisan Nasional (BN) terlalu lama dan perpecahan dalam parti itu merupakan dua faktor kekalahannya pada PRU15.


Beliau berkata, BN tidak menarik berbanding PN dan PH yang lebih muda serta baru.


“(PH dan PN) lebih kuat untuk menarik pengundi baru. Tua adalah kejatuhan.
“Kedua-dua faktor di atas adalah sunnah dan aturan Allah dalam jatuh bangun hidup manusia,” katanya.

EDITOR

Exit mobile version