Site icon Sabah Baru News

‘Politik perpaduan’ sandaran kerjasama DAP, BN di P Pinang

PETALING JAYA: DAP dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama buat julung kalinya dalam pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang tahun ini sejajar hubungan “politik perpaduan”, kata Lim Guan Eng.


Pengerusi DAP berkata, kerjasama antara kedua-dua parti akan diperincikan selepas mesyuarat sebelum Tahun Baharu Cina dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.


“Mesyuarat ini akan dijalankan dalam minggu ketiga sebelum Tahun Baharu Cina, kita mahu lihat bagaimana bentuk jalinan kerjasama akan dibentuk dengan BN.


“Segala perincian mengenai kerjasama akan dimaklumkan selepas Tahun Baharu Cina nanti,” katanya menurut Utusan Malaysia.


Lim berkata, jalinan kerjasama antara DAP dan BN sudah dibentuk di peringkat kerajaan pusat menerusi pembentukan kerajaan perpaduan, malah ia juga dilaksanakan di peringkat kerajaan Perak dan Pahang.


“Kita ada kerajaan perpaduan di peringkat pusat, jadi ia dengan sendirinya akan menyebabkan kerajaan negeri juga bekerjasama seperti berlaku di Perak dan Pahang.


“Yang penting secara prinsipnya kalau ada kerajaan perpaduan dengan sendirinya secara semula jadi tentu ada hubungan politik secara perpaduan,” katanya.


Selain itu, katanya soal pembahagian kerusi antara DAP dan BN pada PRN juga akan diperincikan kelak.

EDITOR

Exit mobile version