Site icon Sabah Baru News

Keluarga terlibat kebakaran ragut 2 beradik terima sumbangan

KUALA LUMPUR: Keluarga terlibat dalam kebakaran tiga rumah di Kampung Simpang Tiga, Gombak yang meragut nyawa dua beradik awal pagi semalam, menerima bantuan awal sebanyak RM1,000.


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata sumbangan itu disalurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang masing-masing memberi RM500 kepada setiap keluarga yang terjejas.


Beliau berkata, tambahan RM500 juga diberikan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga dalam insiden itu.


“Sumbangan yang diberikan ini adalah bantuan awal kepada keluarga yang terjejas dan kerajaan negeri akan mengikuti langkah seterusnya yang diambil selepas laporan bomba diterima,” katanya kepada pemberita selepas melawat tiga keluarga mangsa kebakaran itu, malam tadi.


Semalam, dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga selepas bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri dalam kenyataan malam tadi, pula berkata pihaknya telah menyalurkan bantuan awal dalam bentuk sumbangan barangan keperluan bencana kepada kesemua mangsa yang terlibat.


“Pusat pemindahan sementara telah dibuka di Balai Raya Kampung Simpang Tiga, Gombak dan berdasarkan maklumat awal, kejadian ini berpunca daripada litar pintas,” katanya.


Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa menjaga, mengawasi serta tidak mengabaikan anak-anak manakala jiran tetangga serta komuniti setempat perlu melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya terdapat kes kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan diabaikan.

BERNAMA

Exit mobile version