Site icon Sabah Baru News

Sabah perlu kestabilan politik demi momentum pembangunan, MA63, kata Ewon

KOTA BELUD: Sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri sedia ada bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor boleh merencatkan komitmen kerjasama yang dibina kerajaan Sabah bersama kerajaan persekutuan ketika ini.


Naib presiden Upko yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, berkata kestabilan kepimpinan politik di Sabah amat penting demi mengekalkan momentum pembangunan negeri serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan di persekutuan, agenda melaksanakan MA63 adalah antara keutamaan berdasarkan kekerapan perbincangan Jemaah Menteri termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan kerajaan Sabah bagi melaksanakan perolehan terus projek bernilai RM50 juta ke bawah.


“Saya berpendirian momentum ini perlu dikekalkan dan tidak seharusnya digugat dengan sebarang cubaan menggulingkan beliau (Hajiji),” kata Ahli Parlimen Penampang itu kepada pemberita selepas mengadakan program tinjauan mesra di Tamu Mingguan Taginambur.

Sekitar program tinjauan mesra di Tamu Mingguan Taginambur .


Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, bawah kepimpinan Hajiji, negeri itu berjaya meraih hasil lebih RM6 bilion tahun lalu, yang merupakan prestasi terbaik Sabah selepas bersama membentuk Malaysia pada 1963, sekali gus menjadi bukti ketokohannya.


Dalam pada itu, Ewon turut memaklumkan semua tujuh ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) membuat ketetapan konsensus tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan Hajiji yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 2020.


Oleh itu, beliau menegaskan sebarang usaha menggulingkan Hajiji melalui rundingan “pintu belakang” tidak sepatutnya dilakukan.

— BERNAMA

Exit mobile version