Site icon Sabah Baru News

GRS, BN, PH bentuk kerajaan negeri Sabah, rombakan demi kestabilan – Hajiji

KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri Sabah sekarang serta memastikan satu pentadbiran inklusif yang kuat.

Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, beliau telah memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan ke dalam jemaah menteri Sabah, sebagai tambahan di samping wakil dari UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati. 

“Kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat serta kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui pembentukan kabinet negeri Sabah yang baharu, Hajiji berikrar akan memastikan pelaburan dinamik dapat dikekalkan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi datang melabur di Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” ujarnya.

Dalam rombakan kabinet tersebut, Datuk Seri Bung Moktar Radin sah digugurkan daripada kabinet kerajaan Sabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.

Pada Jumaat lepas, Hajiji mengesahkan akan berlaku rombakan Kabinet negeri itu susulan cubaan ‘rampasan kuasa’ yang didakwa didalangi oleh Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian pimpinan BN Sabah.

— Afiezy Azaman

Exit mobile version