Site icon Sabah Baru News

Christina fokus tarik lebih ramai pelancong ke Sabah

KOTA KINABALU: Datuk Christina Liew yang dilantik semula sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, hari ini mahu memberi fokus menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.


Christina menjangkakan 2023 menjadi tahun yang baik untuk kementeriannya kerana pembangunan pelancongan semakin rancak ketika ini.


Katanya, industri pelancongan Sabah akan lebih baik dan mampu menarik lebih ramai pelancong luar datang seperti sebelum ini.


“Minggu depan, saya akan bertemu dengan pembantu menteri, Setiausaha Tetap dan Pegawai kanan kementerian yang lain untuk membincangkan hala tuju industri ini.


“Saya juga akan bertemu dengan pemain industri pelancongan untuk merangka rancangan untuk negeri ini,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Sabah berkata demikian selepas majlis angkat sumpah di Istana Negeri, di sini hari ini.


Menurutnya, sebelum pandemik COVID-19 dan penutupan pintu masuk negara secara global, Sabah merekodkan kira-kira 4.3 juta pelancong ke negeri ini dan lebih separuh daripadanya dari China.


“Jumlah itu dicatatkan sepanjang tempoh saya menerajui kementerian pelancongan dari tahun 2018 semasa di bawah kerajaan pimpinan Parti Warisan.


“Selepas berlakunya pertukaran kerajaan dan pandemik COVID-19, industri pelancongan negeri mengalami kemerosotan.


“Bagaiamanapun, ketika ini keadaan semakin baik dan saya percaya sektor pelancingan negeri akan kembali rancak,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version