Site icon Sabah Baru News

Pemimpin PH pastikan perubahan untuk pembangunan Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan mengembalikan rekod kedatangan pelancong yang pernah dicapai Sabah sebelum ini.


Beliau yang pernah memegang jawatan berkenaan pada 2018 hingga 2020 berkata, misi dan visi untuk kementerian adalah meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Sabah.

Datuk Christina Liew


“Kita pernah merekodkan sebanyak 1.3 juta pelancong ke Sabah dan lebih dari separuh jumlah berkenaan adalah pelancong China.
“Sekarang selepas pandemik COVID-19, kita harap tahun ini akan menjadi tahun yang baik untuk kementerian ini,” katanya.


Beliau ditemui media selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini. 


Seorang lagi pemimpin PH Sabah yang dilantik dalam Kabinet baharu iaitu ADUN Luyang Phoong Jin Zhe berkata, tugas baharu perlu dilaksanakan sebaik dilantik tanpa ada ruang untuk ‘honeymoon’ (bulan madu).

ADUN Luyang Phoong Jin Zhe


“Saya tahu banyak cabaran di depan dan berharap episod politik ini dapat diselesaikan dengan adanya penyertaan (PH) dalam kerajaan ini.


“Pelantikan saya ini juga diharap dapat diterima masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama walaupun saya orang muda, saya akan bekerja keras untuk pastikan ada perubahan,” jelasnya.


Beliau berkata, tanggungjawab baharu itu juga perlu dilaksanakan secara berganda melibatkan usaha dan masa kerja bagi memastikan misi membawa perubahan dalam kementerian dapat direalisasikan.

— Siti Aisyah Narudin
 

Exit mobile version