Site icon Sabah Baru News

Muhasabah bila ditolak pengundi, bukan hentam PAS, Fadli nasihat Tok Mat

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS membidas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan kerana menyerang parti Islam itu ketika berucap merasmikan perhimpunan agung tiga sayap Umno semalam.


Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, sepatutnya menggunakan perhimpunan itu untuk bermuhasabah susulan prestasi hambar Umno pada PRU15.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan


Umno hanya berjaya memenangi 26 daripada 120 kerusi yang ditandingi November lalu.


“Ingatkan bila parti sendiri ditolak oleh pengundi, perhimpunan agung dijadikan medan muhasabah rupanya tidak, bahkan dijadikan medan menghentam PAS,” katanya dalam hantaran di Facebook.


“Datuk Seri jagalah parti sendiri dulu, buat post mortem kenapa semakin hari semakin ditolak,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, turut mengecam Mohamad kerana menuduh partinya dan Bersatu tidak setia kepada Umno.


Katanya kedua-dua parti itu telah menyokong Umno dalam menjadikan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kelapan susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin.


Semalam, Mohamad berkata Umno memilih untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana pengalamannya bekerja dengan gabungan itu dalam kerajaan terdahulu.


Merujuk Kepada parti utama PN iaitu Bersatu, beliau berkata “sangat sukar” untuk bekerjasama dengan parti yang berniat untuk “menghapuskan Umno selama-lamanya”.


“Ini sama dengan pengalaman kami bekerja dengan PAS. Mereka tidak pernah setia atau ikhlas,” kata Mohamad.

— EDITOR

Exit mobile version