Site icon Sabah Baru News

Joachim mula tugas menteri penyelaras Covid-19 Sabah hari ini


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah II Dr Joachim Gunsalam akan memulakan tugas sebagai menteri penyelaras pengurusan Covid-19 di Sabah, tanggungjawab yang diambil alihnya daripada Masidi Manjun, bermula hari ini.

Masidi yang kini menteri kewangan Sabah berkata, langkah itu selaras dengan perubahan portfolio dalam Jemaah Menteri negeri selepas Joachim dilantik sebagai menteri kerajaan tempatan dan perumahan, portfolio yang sebelum ini disandang Masidi.

Masidi dalam kenyataan semalam menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pengurusan Covid-19 di Sabah, khususnya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Sabah, petugas kesihatan, anggota keselamatan, Sekretariat Covid-19 di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan semua pejabat daerah.


“Penghargaan khusus kepada semua pengamal media yang banyak membantu saya menyebarkan maklumat penting mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah sejak saya menggalas tanggungjawab itu lebih dua tahun lepas,” katanya.


Dalam laporan Covid-19 terakhir beliau hari ini, Masidi memaklumkan Sabah mencatatkan angka jangkitan terendah sejak 3 Sept 2020 apabila merekodkan hanya enam kes baharu hari ini.


“Kadar positiviti juga rendah iaitu 0.46% dengan sampel ujian berjumlah 1,295,” katanya.

— BERNAMA

Exit mobile version