Site icon Sabah Baru News

Usul tak pertanding ‘top 2’ Umno akan ‘bulldoze’, Khairy difahamkan

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata beliau difahamkan usul tak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno akan diluluskan secara paksa (bulldoze).

“Malah beberapa ‘tag’ (tanda nama) di kerusi-kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah pun dicabut dan ditanggal supaya ‘perwakilan-perwakilan import’ boleh dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya ‘number one’ dan ‘number ‘two’ ni tidak dipertandingkan,” katanya di TikTok.

“Penanggalan” tanda nama pada kerusi-kerusi perwakilan di dewan persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) mencetuskan persoalan mengenai kewajaran berbuat demikian.

Difahamkan usul itu akan diundi petang ini.

Sehubungan itu, Khairy menyeru semua perwakilan jangan biarkan usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden lulus, sebaliknya beri kebebasan kepada perwakilan memilih pucuk pimpinan parti.

Khairy beri jaminan pertandingan dua jawatan tertinggi Umno itu tidak akan menyebabkan parti berpecah-belah, kerana sokongan akan terus diberikan kepada pemenang dan segala perbezaan akan diketepikan.

“Kita dah tinggal 26 kerusi Parlimen Umno, ni prestasi yang terburuk dalam sejarah parti kita.

“Jadi sangat penting perwakilan dalam Umno jangan melakukan ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk bunuh demokrasi, menidakkan suara perwakilan di akar umbi menentukan masa depan Umno dan memilih siapa yang boleh dan layak menerajui parti kita dan membangkitkan semula parti keramat Umno,” katanya.

Semalam, Dewan Merdeka dilaporkan sedikit riuh selepas perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Usul daripada wakil Umno Rembau itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

Khairy menyifatkan usul itu “pelik” kerana disampaikan oleh Umno Rembau, yang diketuai Timbalan Presiden, Mohamad Hasan.

“Kalau nak bawa usul penambahan pun, lindunglah sikit. What happen to you (Apa dah jadi pada kamu) Mat Hasan (Mohamad)?” soalnya.

EDITOR

Exit mobile version