Site icon Sabah Baru News

Henti pertikai keabsahan KM gesa Isnin

BEAUFORT: Para pemimpin UMNO Sabah dan Parti Warisan (WARISAN) diminta supaya berhenti mempertikai tentang keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor termasuk isu rombakan kabinet Sabah.


Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, ini kerana Hajiji telah mendapat sokongan majoriti yang mencukupi untuk mentadbir Sabah dan perkara itu seharusnya dihentikan (mempertikai).


Justeru katanya, segala ‘permainan’ untuk menjatuhkan kepimpinan Hajiji perlu dihentikan bagi memberikan peluang kepada kerajaan kabinet baharu untuk melaksanakan tanggungjawab membangunkan Sabah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor


“Sekarang ini sudah ‘game over’. ‘Permainan’ sudah tamat, selesai sudah. Bagilah ruang dan peluang YAB Ketua Menteri (Hajiji) tadbir negeri ini. Semuanya sudah berakhir kerana kami GRS dan yang lain sudah dapat majoriti yang banyak.


“Jangan buang masa (pertikai Hajiji), tunggulah habis tempoh (penggal), baru kita lawan (pada Pilihan Raya Negeri),” katanya ketika ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina 2023 yang diadakan di Dataran Bagandang, dekat sini, kelmarin.


Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharram.

PERSEMBAHAN: Orang ramai yang hadir pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 menyaksikan persembahan tarian Singa.

Dalam perkembangan berkaitan, Isnin yang juga ADUN Klias menyeru kepada pihak-pihak yang tidak berpuas hati supaya menumpukan terhadap tanggungjawab masing-masing sebagai wakil rakyat dengan memberi tumpuan di kawasan masing-masing.


 
Jelas beliau, ianya lebih bermanfaat berbanding berterusan mempertikai isu yang sudah selesai kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan manakala kestabilan politik di negeri ini harus dikekalkan.


“Jangan heret rakyat dalam keadaan tidak menentu kerana rakyat melihat (segalanya), yang kita mahu sekarang adalah kesejahteraan rakyat, mahu pentadbiran di peringkat daerah dan negeri tersusun atur.


“Di kalangan pemimpin ini (yang mempertikai), ramai veteran serta berwibawa dan saya yakin mereka faham (segala pertikaian harus ditamatkan), justeru sudahlah (pertikai), balik dan jaga kawasan.


“Masalah di kawasan banyak belum selesai, bertahun-tahun jadi wakil rakyat tapi masalah rakyat tidak selesai.Tumpu keperluan rakyat, bantu rakyat yang susah di kawasan,” tegasnya.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version