Site icon Sabah Baru News

Kerajaan pastikan isu kekurangan bekalan telur ayam, minyak masak tidak berulang

KOTA KINABALU: Pemantauan bekalan barangan di seluruh Sabah yang dijalankan bermula 15 hingga 29 Januari 2023 ini bagi memastikan masalah kekurangan bekalan barangan seperti telur ayam dan minyak masak tidak lagi berulang. 

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, isu kekurangan bekalan telur ayam dan minyak masak terus mendapat perhatian pihak kementerian.


Katanya, kementerian sentiasa memantau perkara itu dengan kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.


Menurutnya, langkah itu bagi memastikan rakyat sentiasa memperoleh bekalan barangan yang mencukupi terutama pada musim perayaan.


“Saya arahkan bukan sahaja pihak KPDN dan Jabatan Veterinar untuk memantau bekalan barangan, malah pihak kementerian turut sama membuat pemantauan supaya tidak akan berulang.


“Mana-mana individu atau rakyat yang mempunyai segala kemusykilan berkaitan dengan bekalan telur ayam dan minyak masak boleh berhubung terus kepada pihak KPDN.


“Aduan juga boleh dibuat kepada Jabatan Veterinar serta  berhubung terus kepada pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk memantau harga-harga barangan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Negeri Sabah di Pasaraya Bataras Kolombong di sini hari ini.


Beliau berkata, hasil pemantau di pasar raya berkenaan, pihaknya mendapati semua barangan terutama barangan harga terkawal mencukupi termasuk bekalan telur ayam dan minyak masak.


“Sekiranya bekalan ini berkurangan, saya dan pihak KPDN akan sentiasa memantau di premis-premis perniagaan untuk memastikan semua bekalan barangan mencukupi untuk Tahun Baharu Cina.


Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah SHMMP 2023 yang bermula pada 15 Januari lepas, setakat ini sebanyak 111 premis diperiksa di seluruh Sabah dan tiada tindakan kes diambil.


“Bagi 2022, sebanyak 4,667 pemeriksaan dijalankan di seluruh Sabah bagi lima SHMMP iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas.


“Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 19 kes dihasilkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,130.85 dan nilai kompaun sebanyak RM2,100,” jelasnya.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Dr. Normah Yusop.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version