Site icon Sabah Baru News

Kami tidak perlu kosongkan kerusi, kata Armizan

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar Armizan Ali mengesahkan beliau dan tiga Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU15.

Katanya, beliau telah menerima salinan emel dari Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang dihantar kepada Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berhubung status mereka selepas keluar parti, baru-baru ini.


“Surat bertarikh 16 Jan daripada speaker itu sebagai jawapan kepada Ronald dan SK (salinan kepada) kepada kami (empat Ahli Parlimen GRS).


“Keputusannya saya tidak mahu ulas panjang sebab surat itu hanya SK kepada kami, tetapi (keputusan) secara asasnya kami tidak perlu mengosongkan kerusi,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Papar Armizan Ali


Ketika ditanya sama ada beliau lega dengan keputusan itu, Armizan yang juga menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) enggan mengulas lanjut.


“Saya tak mau komen dulu, sebab surat itu sebagai jawapan kepada Ronald, kecuali kalau speaker buat kenyataan terbuka baru saya akan komen,” katanya.


Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen berkenaan ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).


Pada 10 Dis, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.


Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Susulan itu, Bersatu telah menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan “luar jangka” membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli Bersatu.


Ronald yang juga ketua Bersatu Sabah, berkata permohonan sudah dibuat kepada speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.


Katanya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli Bersatu pada PRU15 merujuk kepada surat bertarikh 3 Nov daripada setiausaha Bersatu Sabah.

— Willie Jude

Exit mobile version