Site icon Sabah Baru News

Jadikan perayaan asas pupuk perpaduan, keharmonian- Jonathan

RANAU: Rakyat negeri ini diseru menjadikan perayaan keagamaan sebagai asas untuk memupuk perpaduan dan keharmonian tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, apa sahaja perayaan agama atau etnik seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Deepavali serta Hari Gawai, perlu dihormati dan disambut bersama tanpa membeza-bezakan kaum dan budaya.

Menurutnya, masyarakat di Sabah khususnya adalah contoh terbaik kerana semua perayaan disambut bersama tanpa mengira perbezaan antara mereka

“Ini unik di negeri kita kerana semua kaum boleh duduk semeja tanpa mengira perbezaan mereka,” kata Jonathan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Krismas 2022 dan Tahun Baharu 2023 anjuran Pejabat Parlimen Ranau di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu.

Menyentuh mengenai majlis itu, beliau memaklumkan majlis itu sepatutnya diadakan pada 7 Januari lalu tetapi ditangguhkan berikutan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh di kawasan itu.

“Kita menumpukan usaha membantu termasuk membersihkan kawasan kediaman penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh dan banjir. Kakitangan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau juga turun padang membantu penduduk terjejas,” katanya.

Beliau turut memuji dan berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sukarelawan lain kerana membantu rakyat yang ditimpa musibah.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau selaku Pengerusi Penganjur, Benedict Gunda, turut berucap pada majlis itu.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Daerah Muhasip Roman, Ketua Jabatan dan pemimpin masyarakat setempat. 

— Clarence Dol

Exit mobile version