Site icon Sabah Baru News

Dakwa speaker khilaf, Bersatu bawa status 4 Ahli Parlimen Sabah ke mahkamah

PETALING JAYA: Bersatu mendakwa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul terkhilaf memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada PRU15.

Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu akan merujuk perkara itu ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara selepas pihaknya percaya Johari membuat tafsiran khilaf berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.


“Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.


“Saya percaya mahkamah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Johari bukanlah pihak mempunyai kuasa mentafsir perlembagaan Bersatu, selain mengulangi kekhilafan beliau dalam membuat tafsiran.


Menurutnya, Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain.


“Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan Bersatu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu. Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

4 Ahli Parlimen Sabah yang bertanding atas tiket GRS kini menyertai kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar Ibrahim


Terdahulu, Bersatu telah menerima surat daripada Speaker bertarikh 16 Jan 2023 berhubung notis kekosongan kerusi empat Ahli Dewan Rakyat di Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam Bersatu.


Speaker memutuskan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam PRU15.


Alasan diberikan Johari ialah empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada 27 Okt 2022.


Selain Armizan, tiga Ahli Parlimen lain yang dirujuk itu membabitkan Matbali Musah (Sipitang), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Jonathan Yasin (Ranau).

— EDITOR

Exit mobile version