Site icon Sabah Baru News

Keputusan muktamad, tiada kekosongan 4 kerusi Parlimen di Sabah, kata Johari

KUALA LUMPUR: Keputusan tiada pengosongan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli Bersatu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Nov lalu, adalah muktamad.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata, segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu, telah dijelaskan olehnya dalam surat bertarikh 16 Jan yang dihantar kepada Bersatu.


“Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada Bersatu)…itulah dia (keputusan), muktamad. Terpulang kepada Bersatu (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.


Terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempertikaikan keputusan speaker untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang, dan bercadang untuk merujuk perkara itu ke mahkamah.


Muhyiddin dalam kenyataan hari ini, mendakwa keputusan dibuat Johari adalah berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan parti Bersatu, namun menurutnya, speaker bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti, justeru terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.


Menurut Muhyiddin, dalam surat bertarikh 16 Jan lalu, Johari memberi alasan dengan mentafsir fasal itu, empat Ahli Parlimen berkenaan menjadi ahli langsung GRS pada 27 Okt 2022 dan mendapati keahlian mereka dalam Bersatu gugur serta-merta pada waktu berkenaan, sebelum mereka bertanding dalam PRU15 pada 19 Nov 2022.


Bagaimanapun, presiden Bersatu itu berkata, fasal berkenaan tidak terpakai kepada empat Ahli Parlimen berkenaan kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti itu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.


Isu pengosongan empat kerusi Parlimen itu timbul, selepas bekas Ketua Bersatu Sabah Hajiji Noor, mengumumkan pemimpin parti dan ahlinya sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada parti namun kekal di bawah GRS, pada 10 Dis lepas.


Di dalam notis berkenaan, Ahli Parlimen yang dinamakan ialah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

— BERNAMA

Exit mobile version