Site icon Sabah Baru News

O&G Sabah terus berkembang positif di bawah Hajiji: SOGSC

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

KOTA KINABALU: Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah banyak berjasa dalam pembangunan sektor minyak dan gas (O&G) negeri.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji dan SMJ Sdn Bhd (SMJSB) atas perkembangan positif dan yakin ia akan menarik penyertaan lebih besar pemain OGSE tempatan, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” kata Presiden Protem Datuk Harris Tan. 

Beliau berkata, pelulusan Rang Undang-undang baru-baru ini berkaitan pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Negeri, dan pemeteraian Perjanjian Induk (HOA) antara SMJSB dan Petronas Chemical Group Berhad (PCG) untuk pemerolehan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) menandakan permulaan yang baik.

“Semua ini adalah atas usaha Hajiji dan SMJSB. Pengambilalihan strategik itu sememangnya satu berkat Tahun Baharu bagi Sabah dan hasil usaha SMJSB dan kepimpinan eksekutifnya,” katanya.

“SOGSC bersedia bekerjasama rapat dengan SMJSB untuk membantu dalam meningkatkan penyertaan OGSE (perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas) tempatan. 

“Ini seharusnya membuka jalan kepada lebih banyak syarikat tempatan di Sabah untuk terlibat dalam pembangunan industri itu,” tambahnya.

Harris melahirkan keyakinan bahawa SMJSB akan meningkatkan dan membawa lebih keterangkuman kepada pemain OGSE tempatan dalam industri, yang merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk sektor minyak dan gas.

Beliau berkata pelulusan kedua-dua Rang Undang-undang itu merupakan peristiwa penting.

“Pelulusan Rang Undang-undang bermakna Sabah mampu mengawal keseluruhan ekosistem dalam industri gas, termasuk sektor huluan, pertengahan dan hiliran,” katanya.

Harris dan Jesselton

Naib Presiden Protem SOGSC Jesselton Jason menyifatkan kelulusan dua Rang Undang-undang dan pemerolehan strategik sebagai pencapaian “bersejarah dan luar biasa” bagi Sabah.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa momentum ini akan diteruskan dengan lebih banyak perkembangan baik dalam masa terdekat.

Dua Rang Undang-undang berkaitan pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri telah diluluskan pada 10 Jan, manakala Perjanjian Induk (HOA) ditandatangani sehari sebelum meluluskan kedua-dua Rang Undang-undang tersebut.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB Dr Dionysia Aloysius Kibat dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof di hadapan Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun dan Naib Presiden Kanan (Penyampaian Projek & Teknologi) Petronas Datuk Bacho Pilong.

–Alex Ong

Exit mobile version