Site icon Sabah Baru News

Penyelesaian isu MA63 keutamaan PM

Kuching – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara yang menjadi keutamaan untuk ditanganinya selain fokus kepada kos sara hidup rakyat sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Justeru katanya, arahan pertama dikeluarkannya kepada Datuk Seri Fadillah Yusof ialah meminta timbalannya itu mengetuai pasukan khas untuk menyelesaikan isu MA63 secepat mungkin.

Beliau berkata, MA63 adalah perjanjian untuk membentuk sebuah negara dan ia harus dipegang serta dihormati.

“Sebab itu, saya memberi keutamaan kepada permasalahan yang tidak kunjung padam mengenai MA63.

“Kita dalam dunia politik berpegang kepada prinsip al-Quran bahawa perjanjian itu harus dipegang dan ditunai, jadi saya pegang prinsip itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Jamuan Negeri bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar serta barisan Kabinet Sarawak.

Anwar berkata, walaupun beliau tidak terbabit ketika MA63 dimeterai 60 tahun lalu namun beliau berpegang kepada prinsip bahawa perjanjian itu harus dipegang.

“Saya akui Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri terdahulu bersama Premier Sarawak sudah melakukan beberapa perubahan termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Namun dengan kesempatan yang diberikan kepada saya (sebagai Perdana Menteri) kita cuba usaha bersungguh-sungguh (untuk menyelesaikan isu MA63).

“Ia bukan sekadar slogan politik atau sekadar untuk mendapatkan dokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi untuk menunaikan amanah yang kita pikul secara serius,” katanya.

Anwar mengakui, pembangunan Sarawak dan Sabah masih ketinggalan berbanding wilayah Semenanjung selepas enam dekad pembentukan Malaysia dan beliau berikrar untuk membetulkannya.

“Pembangunan Sabah dan Sarawak bukan asing bagi saya, puluhan tahun dalam politik sejak dari dalam kerajaan kemudian menjadi pembangkang dan kini dalam kerajaan semula, saya nampak apa yang berlaku di Sarawak dan Sabah.

“Sebab itu, MA63 sentiasa menghangatkan suhu politik Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah negara Persekutuan, sukar untuk mengangkat semangat idealisme serta martabat negara jika perasaan rakyat, sama ada kaum atau agama atau wilayah terguris dan tidak cuba dirawat.

“Justeru menjadi tugas pimpinan untuk merawat bukan untuk menambah luka dan tugas saya merawat seterusnya menyampaikan kepada yang berhak,” katanya.

Esok, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Dun Sarawak dan menurutnya, beberapa keputusan positif akan diumumkan.

— Mohd Roji Kawi

Exit mobile version