Site icon Sabah Baru News

Khairy tolak pelawaan PN, masih setia bersama UMNO

Khairy Jamaluddin menegaskan masih setia bersama UMNO dan menolak pelawaan Pas untuk menyertai PN meskipun nasibnya dalam UMNO belum diketahui sehingga kini. – Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan masih setia bersama UMNO dan menolak pelawaan Pas untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) meskipun nasibnya dalam UMNO belum diketahui sehingga kini.

Khairy, yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Rembau berkata, beliau berterima kasih atas pelawaan PN itu dan berpendirian mahu kekal dalam UMNO.

“Saya ucap terima kasih atas pelawaan Pas untuk sertai Perikatan Nasional (PN) tetapi saya masih setia sebagai ahli biasa UMNO,” jelasnya seperti dilaporkan portal Berita Harian pada Khamis. 

Sebelum ini, Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN dan Pas sedia menerima Khairy sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu disingkirkan oleh UMNO.

Jelas Ahmad Samsuri, Khairy boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam komponen PN.

Malah, Ahmad Samsuri berpendapat, bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu seorang pemimpin hebat, berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang.

UMNO dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat bagi membincangkan tindakan ke atas Khairy berikutan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, baru-baru ini.

— Fareez Azman

Exit mobile version