Site icon Sabah Baru News

Keputusan pecat, gantung pemimpin Umno tak ikut proses – Ismail

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak bersetuju dengan ketetapan parti itu yang memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin Umno kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan.

Menurut bekas perdana menteri itu, keputusan itu juga tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan konsep ‘natural justice’ seperti hak membela diri.


Katanya, tiada surat tunjuk sebab untuk yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka dan tiada ruang diberikan untuk menjawab pertuduhan.


“Jika yang menuduh tidak berpuas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.


“Jika mereka didapati bersalah jawatankuasa perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan Umno dan membawa kepada Majlis Tertinggi untuk keputusan. Tetapi proses ini tidak dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.


Tambahnya, beliau dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihati presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan terdapat laporan dibuat kepada tertuduh.


“Untuk sebuah parti yang bertamadun, Umno mesti dilihat telus dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.


Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi membuat ketetapan memecat bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.


Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada PRU15.


Turut dikenakan tindakan adalah bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun

EDITOR

Exit mobile version