Site icon Sabah Baru News

Pelantikan Nurul Izzah berunsur nepotisme – C4

PETALING JAYA: Keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan berunsur “nepotisme” dan satu “konflik kepentingan”, kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Sudhagaran Stanley, berkata hakikat bahawa Nurul Izzah Anwar tidak menerima elaun bagi pelantikan itu “tidak relevan”, malah beliau menyifatkan perdana menteri mewujudkan contoh salah untuk diikuti.


“Kini menteri lain mungkin melakukan perkara sama melantik anak perempuan atau ahli keluarga bagi mengetuai portfolio penting.


“Di mana garisan penamatnya? Ini sudah pasti bukan amalan tadbir urus baik,” katanya dalam kenyataan, dengan menambah perlunya ketelusan dalam proses pelantikan politik,


Sudhagaran berkata, kelayakan serta proses permohonan dan pemilihan perlu didedahkan kepada umum supaya setiap individu berkepentingan berpeluang memohon untuk jawatan itu.


“Sudah pasti perdana menteri, malah mana-mana menteri sekalipun, mahukan yang orang terbaik dan paling berkelayakan menyertai pasukannya. Namun bagaimana untuk mencapai ini apabila tiada ruang untuk orang awam memohon mengisinya?


“Bagaimana kita boleh pasti bahawa Nurul Izzah orang paling berkelayakan yang telah dipilih untuk jawatan itu?” soalnya.


Katanya, Jemaah Menteri sudahpun mempunyai seorang menteri ekonomi, seterusnya beliau menyoal sama ada pelantikan Nurul Izzah mampu mengakibatkan konflik.


Bagaimanapun, ADUN Kebun Bunga Jason Ong mempertahankan pelantikan Nurul Izzah itu yang disifatkan “berita baik untuk semua rakyat Malaysia”.


“Hanya mereka yang korup akan menentang pelantikannya. Nurul Izzah seorang yang boleh dipercayai dan mampu melaksanakan tanggungjawab diberikan perdana menteri bagi memastikan kestabilan negara.


“Ahli Pakatan Harapan dan PKR boleh mengesahkan keupayaan dan kemampuannya sebagai pemimpin serta rakan untuk semua,” katanya dengan menambah paling penting adalah Nurul Izzah berkelayakan, malah tidak menerima jawatan itu untuk menjadi kaya seperti ahli politik lain.


Katanya, Nurul Izzah mempunyai ijazah kejuruteraan dan bidang dasar awam dari Universiti Johns Hopkins di AS.

— FMT

Exit mobile version