Site icon Sabah Baru News

Lihat lantikan Nurul Izzah dari segi matlamat, bukan jadi polemik, kata mufti

PETALING JAYA: Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri harus dilihat menerusi matlamat yang ingin dicapai, bukan untuk dipolemikkan, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, keputusan Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah perlu dinilai berdasarkan matlamatnya, bukan kepada caranya.


“Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan.


“Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali.”

Nurul Izzah


Beliau berkata, tidak salah bagi seseorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik ahli keluarga sendiri jika mereka berkelayakan dan berintegriti.


“Bagi saya, tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihatnya dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya.


Selain menyifatkan kesanggupan Nurul Izzah untuk berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran sebagai tindakan mulia dan terpuji, Wan Salim berkata, kepakaran dimilikinya dilihat dapat memudahkan urusan negara.


“Untuk mencapai matlamat ini, individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali urusan kerajaan, terutama dalam hal-hal yang membabitkan kewangan mestilah memiliki integriti diri.


Pada Ahad, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri dan mula berkhidmat sejak 3 Jan.


Pelantikan itu menimbulkan pertikaian apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar tidak memegang janji dan mengkhianati semangat perjuangan reformasi dilaungkannya sejak 20 tahun lalu.


Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, seorang perdana menteri melantik anak sendiri sebagai penasihat.

— FMT

Exit mobile version