Site icon Sabah Baru News

Kritikan lantik Nurul Izzah ‘tak adil’, kata bekas Ahli Parlimen

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen DAP tampil mempertahankan Nurul Izzah Anwar susulan kontroversi pelantikannya sebagai penasihat khas perdana menteri.


Merujuk kepada rekod prestasinya di Parlimen, Charles Santiago berkata, kritikan terhadap Nurul Izzah berhubung lantikannya “tidak wajar” dan “tidak adil”.


Santiago berkata, beliau tahu Nurul Izzah sentiasa mengutamakan rakyat, selepas dia sempat bekerjasama dengan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam Kaukus Parlimen Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), pada 2013.


“Beliau sentiasa membela rakyat,” katanya kepada FMT.


Tambahnya, apabila menyentuh mengenai TPPA, Nurul Izzah arif dalam hal berkaitan hak harta intelek dan isu pembangunan negara termasuk reformasi tebus guna tanah demi membantu membangunkan sektor luar bandar.

“Sebagai Ahli Parlimen (sebelum ini), beliau sering memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat,” katanya merujuk kepada Indeks Kemiskinan Multidimensi dibangunkan bersama antara Nurul Izzah dengan bekas profesor Universiti Malaya (UM).


Santiago berkata, beliau mendapati Nurul Izzah sangat berpengetahuan dalam reformasi diperlukan bagi pembangunan pembentukan kemahiran di negara ini, merujuk kepada rang undang-undang persendirian didrafnya mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET.


Santiago menolak berlakunya konflik kepentingan memandangkan Nurul Izzah dan keluarganya tidak terlibat dalam sebarang perniagaan.


Justeru, katanya, tiada konflik wujud, sekali gus menolak dakwaan kegusaran pengkritik berhubung amalan nepotisme.


Melihat kerjaya politik Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Klang itu, berkata wanita itu tidak pernah menggunakan kelebihannya sebagai anak kepada Anwar Ibrahim.


Santiago juga menolak hujah mendakwa Nurul Izzah tidak layak menjadi penasihat khas ekonomi dan kewangan, sambil menyatakan dalam perkara tertentu, ahli ekonomi berkelayakan juga memudaratkan ekonomi negara.


“Beliau bukan beban. Itulah sebabnya saya rasakan kritikan terhadapnya tidak adil dan tidak wajar. Jujurnya, perkara itu terlalu berlebihan.”


Pelantikan Nurul Izzah mencetuskan pertikaian daripada kumpulan pemikir dan persatuan sivil, mendesak lantikan itu ditarik balik. Semalam, Anwar menegaskan pelantikannya bukan berunsur nepotisme.


“Nepotisme adalah di mana (ahli keluarga) diberi kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mendapatkan kontrak dan mendapat bayaran yang besar. Ini tidak berlaku,” katanya Anwar.

— Sean Augustin

Exit mobile version