Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan BERSATU Sabah

KOTA KINABALU – Langkah Datuk Seri Hajiji Noor mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak akan melemahkan usaha penstrukturan semula BERSATU di Sabah.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata beliau tidak melihat parti yang akan diketuai oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu bakal menyebabkan pemimpin akar umbi Bersatu keluar meninggalkan parti bagi menyertai Gagasan Rakyat.

“Pemimpin akar umbi di peringkat cawangan masih kukuh. Saya tidak melihat akan ada lagi pemimpin keluar parti, kebanyakan mereka kekal setia bersama kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ronald berkata pada masa ini, BERSATU Sabah dalam proses melakukan penstrukturan semula peringkat bahagian bagi menggantikan pemimpin yang telah meninggalkan parti.

“Kami dalam proses melantik beberapa ketua penaja peringkat bahagian sebagai usaha penstrukturan semula BERSATU di Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, BERSATU Sabah akan mengadakan mesyuarat cawangan antara 1 Julai hingga 31 Ogos dan diikuti dengan mesyuarat bahagian pada 7 Oktober dan selepas itu barulah perhimpunan agung akan diadakan pada November.

Semasa pertemuan bersama BERSATU Bahagian Tawau pada Ahad, Ronald berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan tutup kedai di Sabah dan sekiranya diberi sedikit masa, beliau yakin BERSATU Sabah mampu menyumbang kerusi kepada PN pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, penstrukturan semula BERSATU Sabah akan membolehkan kepemimpinan parti di negeri ini bertambah kukuh.

Katanya, biarpun pelbagai naratif politik diperkatakan tentang PN namun, beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih rasional dengan memilih PN demi pembangunan Sabah.

Menurut beliau, Hajiji mahu menggunakan platform parti tempatan namun, keputusan itu terletak di tangan rakyat untuk menentukan pemimpin yang mereka mahukan pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Ini bukan pertama kali rakyat Sabah disogok dengan naratif Sabah perlu dipimpin oleh parti tempatan. Kita pernah dipimpin oleh parti tempatan suatu ketika dahulu namun pada akhirnya kita kembali kepada kerajaan Persekutuan.

“Jadi, terpulang kepada mereka membawa naratif sedemikian, kita serahkan kepada rakyat untuk memilih kerana trend yang boleh dilihat rakyat Sabah dan pengundi di negara ini ingin melihat sebuah gabungan politik yang bersih dan stabil serta mampu mengangkat martabat rakyat Malaysia ke tahap lebih baik,” katanya.

EDITOR

Exit mobile version