Site icon Sabah Baru News

Siasat juga dana PKR, DAP ketika PRU15, bekas pegawai Muhyiddin beritahu SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat perbelanjaan pilihan raya PKR dan DAP yang didakwa melibatkan jumlah besar, kata bekas ketua setiausaha sulit kanan perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin.

Marzuki Mohamad berkata, SPRM wajar menyiasat dari mana kedua-dua parti itu mendapat sumber dana untuk membiayai PRU15.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin


“Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain.


“Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Anwar (Ibrahim) sendiri ketika berkempen, juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti,” katanya di Facebook.


Beliau turut mempersoalkan adakah PKR dan DAP menerima dana daripada ahli perniagaan atau tauke ketika memerintah kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini.


Kenyataan Marzuki hadir selepas SPRM membekukan akaun Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.


Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu ada kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.


“Elok siasat juga dana pilihan raya BN. Ingat, menteri-menteri BN juga ada dalam kerajaan PN dan perdana menteri selepas PN juga dari BN.


“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Barulah adil,” katanya.

— FMT

Exit mobile version