Site icon Sabah Baru News

Persatuan bantu komuniti kurang mampu lengkapkan usaha kerajaan tingkat kesejahteraan rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU: Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat sama untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan, melengkapkan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, ini kerana meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah salah satu agenda pembangunan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bertujuan memacu pembangunan menyeluruh rakyat dan negeri ini.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi Datuk Christina Liew dan Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah, Josephine Hadikusumo .Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.

“Pelbagai program yang dilaksanakan oleh NGO termasuk inisiatif “Jom Balik Sekolah” oleh Persatuan Sumber Harapan Sabah, telah membantu kanak-kanak kurang berkemampuan atau miskin di negeri ini amat baik. Ia melengkapi usaha kerajaan menerusi agenda SMJ.

Menggaul Yee Sang sempena Majlis Makan Malam Amal Persatuan Sumber Harapan Sabah di Dewan Hakka di sini malam ini.

“Malah, konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi tumpuan kepada usaha yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya sempena Majlis Makan Malam Amal Tahun Baharu Cina Persatuan Sumber Harapan Sabah, di Dewan Hakka di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, Hajiji mahu lebih ramai NGO di negeri ini tampil untuk saling bekerjasama supaya dengan bersama-sama akan memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan di negeri ini.

“Persatuan Sumber Harapan Sabah telah berjaya mengagihkan bantuan pendidikan kepada sekolah di 20 daerah di negeri ini antaranya di Ranau, Kudat, Tuaran, Pitas, Kota Marudu dan Tawau.

“Justeru, saya mahu lebih banyak lagi NGO akan tampil dan saling bekerjasama supaya dapat membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan.

Beliau turut berharap agar lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan, turut mendapat manfaat dalam setiap aktiviti amal yang dilaksanakan NGO di negeri ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah, Josephine Hadikusumo, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sabah, Rafael Walangitan; Konsul Jeneral, Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi Fang dan Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Shiho Kako.

— EDITOR

Exit mobile version