Site icon Sabah Baru News

Bukan nepotisme – anak saya ada kelayakan, pengalaman – Johari

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata, tidak timbul amalan nepotisme sekiranya beliau melantik anak lelakinya Mohammed Iqbal sebagai pembantu khasnya kerana anaknya itu memiliki kelayakan dan pengalaman.

Katanya, Iqbal bekerja sebagai pembantunya sejak 2009 dan memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kewangan di Multimedia University (MMU) Melaka, lapor Berita Harian.


“Nepotisme ini kalau dia kurang, tidak berkelayakan atau dia hanya ada diploma tapi dia diletakkan dalam jawatan yang perlu mempunyai ijazah sarjana muda. Atau baharu keluar universiti semalam tapi letakkan dia di jawatan yang memerlukan pengalaman 10 tahun,” katanya kepada Berita Harian.


Johari berkata, beliau kini mempertimbangkan untuk memohon pelantikan Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.


Katanya Iqbal yang sudah menjadi pegawainya sejak 14 tahun lalu hanya meneruskan kerja membantu beliau dengan elaun dibayar oleh dirinya sendiri.


“Dia meneruskan kerja yang dibuat selama ini yang bukan benda baharu, bukan lantikan rasmi, kerajaan tidak bayar (gaji) saya bayar sendiri,” katanya.


Semalam, Johari menafikan dakwaan anaknya dilantik pegawai khas untuk membantunya di Parlimen.


Penjelasan ini menyusul laporan tersebar dalam talian bahawa Iqbal dilantik sebagai pegawai tugas-tugas khas 1 kepada Speaker Dewan Rakyat.


Dakwaan itu dibuat ahli Perikatan Nasional, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, di laman Facebooknya semalam.


Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dikritik selepas dituduh mengamalkan nepotisme apabila melantik anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya.


Bagaimanapun, Anwar membalas nepotisme berlaku apabila ahli keluarga “diberi kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mendapatkan kontrak dan mendapat bayaran yang besar”.

— FMT

Exit mobile version