Site icon Sabah Baru News

James cadang wujudkan pusat-pusat dialisis di daerah yang mempunyai bilangan pesakit tinggi

MEMBAKUT: Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) berhasrat untuk mewujudkan beberapa pusat dialisis di daerah yang dikenalpasti memerlukan kemudahan tersebut.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, hasrat untuk mewujudkan pusat dialisis itu nanti akan turut melibatkan syarikat korporat seperti Petronas melalui Yayasan Petronas, yang telah melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sabah.


Jelas beliau, terdapat enam buah daerah yang dikenalpasti untuk mewujudkan pusat dialisis namun perinciannya belum dimuktamadkan kerana masih dalam peringkat cadangan.


Namun yang pasti, pusat-pusat dialisis perlu dibina di kawasan yang berhampiran dengan hospital bagi memastikan pesakit dapat dirujuk dengan segera sekiranya terdapat keperluan-keperluan kecemasan dan berkaitan.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2023 Yayasan Petronas dengan kerjasama JPKA di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping, kelmarin.


Turut hadir Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.

Dalam pada itu, James turut merakamkan penghargaan kepada pihak Yayasan Petronas kerana telah banyak menyalurkan sumbangan kepada JPKA untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.


Sejak 2022, Yayasan Petronas telah menyumbangkan sebanyak 405 buah katil boleh laras kepada pihak JPKA melalui program Homeward, yang diyakini mampu memberi impak positif kepada golongan sasar.


“Setakat pada hari ini, sejumlah 181 kes pesakit terlantar telahpun dibantu berbanding sasaran awal 150 kes yang ditetapkan bagi tahun pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022.


“Program Homeward merupakan satu program berkonsepkan pinjaman alat keperluan asas hospital kepada pesakit yang terlantar dirumah, warga tua dan orang kelainan upaya (OKU) dari golongan B40.


Sempena kunjungan James ke Membakut, beliau bersama rombongan turut melawat ke salah sebuah rumah di Kampung Tomoi bagi program Homeward dan kemudian ke melawat ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Selagon bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat berkenaan.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version