Site icon Sabah Baru News

Pengurangan peruntukan Ahli Parlimen jejas khidmat di pedalaman -Alexander

PETALING JAYA: Seorang menteri persekutuan menyuarakan kebimbangan pengurangan peruntukan pembangunan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan terutama di kawasan pedalaman.

Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Alexander Nanta Linggi, berkata peruntukan terhad itu memberi cabaran besar kepadanya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan menambah baik infrastruktur rakyat.


“Keputusan ini bagaimanapun agak mengejutkan, mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutamanya di kawasan pedalaman kerana kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN di Sarawak amat bergantung kepada peruntukan ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan tahun ini sebagai langkah penjimatan kewangan negara.


Anwar berkata, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah serta pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat, mengikut keperluan termasuk untuk projek mendesak seperti pembaikan jalan rosak dan mendalamkan sungai.


Tambah Nanta, peruntukan sebelum ini banyak membantu Ahli Parlimen menyalurkan bantuan kepada penduduk lebih efisien dan cepat tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan kerajaan.


“Peruntukan ini yang disalurkan ke Pusat Khidmat juga menjadi ‘one-stop centre’ bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera,” katanya yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak.


Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil langkah proaktif menangani kekangan berkenan dengan menaikkan peruntukan kepada Ahli Parlimen dari semasa ke semasa.


“Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya.

— FMT

Exit mobile version