Site icon Sabah Baru News

Persatuan Sumber Harapan Sabah sedia kerjasama laksana CSR – Josephine

KOTA  KINABALU: Persatuan Sumber Harapan Sabah berharap menjadi pilihan kepada mana-mana sektor swasta atau syarikat sekiranya wujud hasrat bagi melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).


Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah Josephine Hadikusumo berkata, pihaknya berharap berpeluang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu melaksanakan program amal.

TERIMA KASIH: Josephine (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Hajiji.


“Kami adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar dan semua sumbangan kepada pertubuhan ini akan dikecualikan cukai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Tahun Baharu Cina Persatuan Sumber Harapan Sabah, di sini baru-baru ini.


Beliau juga mengalu-alukan kerjasama dengan badan kerajaan serta bukan kerajaan bagi menjayakan misi persatuan itu.


Berkaitan dengan sumbangan 10,000 beg sekolah dan peralatan belajar kepada komuniti B40 di Sabah tahun ini, beliau menjelaskan pihaknya memerlukan sejumlah RM300,000 untuk menjayakan program itu memandangkan setiap set alat tulis termasuk beg sekolah bernilai RM30.


“Tidak dinafikan, mungkin persatuan ini sukar mencapai sasaran ini pada tahun ini, tetapi saya jamin perkara ini akan dicapai pada 2024.


“Walaupun dana diperolehi hanya sedikit, tetapi semuanya akan dikumpul untuk menjayakan usaha murni ini,” katanya.


Josephine berkata, pihaknya sangat komited untuk meneruskan program ‘Jom Balik Sekolah’ ke daerah atau kawasan yang belum sempat dilawati.


Untuk rekod, diantara Januari sehingga Disember 2022, Persatuan Sumber Harapan Sabah berjaya menyalurkan 10,000 set alat tulis kepada kanak-kanak memerlukan di 80 buah sekolah dari 20 daerah di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman.


Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

— Yap Siong Han

Exit mobile version