Site icon Sabah Baru News

Peruntukan pendidikan di Sabah perlu diutamakan – Nizam

TAWAU: Kerajaan diharap dapat memberikan perhatian dan peruntukan yang lebih terhadap sektor pendidikan di Sabah khususnya menaiktaraf sekolah daif di kawasan pendalaman.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, masih banyak sekolah yang berstatus daif di negeri ini terutamanya dari segi bangunan dan kemudahan infrastruktur.


Katanya, isu itu sudah selalu dibangkitkan dan ia perlu diatasi dengan segera demi pembangunan pendidikan modal insan yang lebih baik.


“Kita sedia maklum, pembangunan dan infrastruktur yang ada di Sabah jauh ketinggalan berbanding dengan negeri lain.


“Justeru, saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneliti setiap masalah tersebut dan memberikan lebih peruntukan kepada negeri ini,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam majlis Konvensyen Pengurusan Pendidikan Negeri Sabah, di sini semalam.


Menurutnya, isu pendidikan juga turut menjadi agenda kerajaan negeri supaya semua sekolah daif di pendalaman dapat dinaiktaraf.


“Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga sudah berusaha untuk mendapatkan peruntukan yang lebih supaya banyak pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya.


Mengulas mengenai majlis ini, katanya, konvensyen sebegini mampu meningkatkan prestasi semua ketua, timbalan ketua serta pegawai pendidikan daerah di negeri ini.


“Saya yakin melalui konvensyen selama tiga hari ini, semua pegawai pendidikan memperoleh ilmu untuk membantu kemenjadian pelajar di seluruh Sabah.


“Sektor pendidikan di negeri ini diharapkan mampu bersaing dengan negeri lain, sekali gus meletakkan Sabah ditangga kejayaan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Tah Nia Haji Jaman berkata, konvensyen yang julung kali diadakan ini adalah untuk memantapkan lagi kefahaman dan penglibatan pengurusan terkini Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).


Katanya, konvensyen ini memberikan kefahaman yang jelas untuk diterjemahkan dalam model hala tuju ‘Sepakat Sabah Hebat’.


“Kita mengharapkan ‘Sepakat Sabah Hebat’ yang merupakan hala tuju JPNS selama tiga tahun bermula tahun ini dapat dibudayakan dengan baik.


“Ia bukan sahaja budaya permuafakatan dalam kalangan pihak di sektor pendidikan, tetapi melibatkan komuniti lain supaya sama-sama membantu pendidikan di negeri ini,” katanya.


Tah Nia berkata, JPNS berharap sektor pendidikan negeri akan lebih mantap selepas ini dan mampu meningkatkan pencapaian pelajar dalam semua perkara khususnya akademik, sahsiah, sukan dan ko- kurikulum.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version