Site icon Sabah Baru News

Kerajaan komited merangka pelbagai tindakan untuk menstabilkan bekalan makanan di negeri ini – Jeffrey

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Khas Keselamatan Makanan telah mengadakan mesyuarat pertama selepas penubuhannya diluluskan Kabinet Negeri.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan mesyuarat kali kedua dalam masa terdekat supaya boleh menyediakan laporan kepada Jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan makanan.


Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa terbabit berkata, pihaknya iaitu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri makanan kini selari dengan fokus kerajaan diperingkat persekutuan.


Katanya, keselamatan makanan akan menjadi fokus utama kerajaan persekutuan dan negeri pada tahun ini.


Katanya, kerajaan komited untuk menyediakan perancangan bagi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan makanan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan 2023 di sini, hari ini.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, Sabah terkenal dengan makanan laut segar dan negeri ini mempunyai bekalan mencukup untuk bahan berkenaan. 


“Kita juga menggalakkan lebih ramai pengusaha industri perikanan untuk menghasilkan lebih banyak produk makanan laut.


“Mereka (pengusaha) juga memohon kepada kerajaan agar menunda pembayaran cukai jualan produk perikanan yang dijual keluar dari Sabah.


“Saya merasakan kita harus menunda perkara ini sehingga mereka betul-betul bersedia sepenuhnya, mungkin tunda dalam tempoh enam sehingga 12 bulan,” katanya.


“Saya berharap kementerian ini akan mempunyai kapasiti yang lebih baik untuk bergerak maju bukan saja disebabkan pandemik COVID-19 sudah berlalu tetapi juga kita turut mempunyai banyak bakal pelabur yang akan melabur sekali gus membolehkan operasi dikesemua agensi kita berjalan lancar,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version