Site icon Sabah Baru News

Ceburi dagangan karbon untuk tarik pelaburan asing – Jeffrey

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri perlu mengambil pendekatan tidak konvensional, termasuk perdagangan karbon, untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Sabah dan menggandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, KDNK per kapita Sabah berada pada USD6,000, jauh di belakang KDNK per kapita negara sebanyak USD12,000.


Beliau menjelaskan, Sabah menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM30 bilion, tetapi memerlukan pelaburan bernilai kira-kira RM46 bilion hingga RM48 bilion untuk mencapai sasaran KDNK per kapita sebanyak USD12,000 itu.


“Dasar semasa Kerajaan sekarang adalah untuk memberi laluan kepada pelabur asing, sebab kita tidak boleh mengharapkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kerana mereka juga menghadapi masalah sama,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sambutan Tahun Baharu Cina Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) 2023 di Wisma Kinsabina, di sini, Ahad.


Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, antara jalan yang perlu diambil oleh Kerajaan ialah pemuliharaan dan perdagangan karbon yang akan menarik lebih banyak pelaburan asing ke Sabah.


“Sebelum ini kita hanya fikir tentang pembalakan, dan apabila (sumber ini) habis, kita menjadi tidak tentu arah.


“Sebagai kesan sampingan, ia turut membawakan pencemaran dan perubahan iklim, sebab itu kita berhadapan dengan banjir dan kebakaran di sana sini. Jadi kita perlu mengalihkan fikiran kita kepada pemuliharaan.


“Melalui pemuliharaan kita tidak memotong balak dan menjejaskan alam sekitar, namun kita menghasilkan pulangan melalui penjualan kredit karbon yang diperlukan oleh dunia untuk menstabilkan perubahan iklim.

Ini akan menghasilkan pulangan lebih besar berbanding pembalakan.


“Apabila kita mempunyai dasar yang tertumpu kepada ekonomi sirkular hijau, pelabur global akan tertarik untuk melabur di Sabah.


“Kita perlu ada dasar luar biasa. Jika kita terus melakukan perkara biasa, tidak akan ada perubahan, jadi kita mesti memikirkan cara untuk membawa hasil yang tidak difikirkan sebelum ini,” katanya.


Semasa Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah tahun lepas, Jeffrey berkata Sabah dijangka mengutip hasil tahunan RM2.2 bilion hingga RM5.6 bilion daripada perdagangan karbon dan perjanjian pengewangan aset semula jadi yang lain.


Pada Oktober 2021, dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri menandatangani Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), perjanjian perdagangan karbon selama 100 tahun dengan sebuah syarikat berdaftar Singapura bernama Hoch Standard Pte Ltd yang melibatkan 2 juta hektar tanah negara.


Ia mencetuskan kontroversi besar dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan kerana kekurangan ketelusan, kesahihan Hoch Standard yang dipertikaikan serta potensi impak buruk terhadap komuniti penduduk asal.


Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata walaupun NCA telah ditandatangani, ia tidak mengikat secara sah dan masih belum dimuktamadkan. Disember lalu, Jeffrey dilaporkan berkata beliau berhasrat supaya NCA dilaksanakan tahun ini.

— Anthea Peter

Exit mobile version