Site icon Sabah Baru News

Audit perbelanjaan Ahli Parlimen bukan potong peruntukan -Syed Saddiq

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melakukan audit terhadap perbelanjaan pembangunan Ahli Parlimen, bukannya memotong peruntukan itu, kata Ahli Parlimen Muar, Saddiq Syed Syed Abdul Rahman.


Katanya, mengaudit perbelanjaan Ahli Parlimen akan membantu memantapkan integriti dan beliau bekerjasama dengan firma Ernst and Young sejak kali pertama dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018.


Dalam hantaran di Twitter, presiden Muda itu juga berharap Putrajaya mempertimbangkan keputusan memotong peruntukan pembangunan Ahli Parlimen hampir 70% daripada RM3.8 juta kepada hanya RM1.3 juta.


“Duit tersebut bukan gaji atau elaun Ahli Parlimen, tetapi wang itulah yang digunakan untuk membaiki tandas sekolah rosak, menukar atap masjid usang dan bantuan untuk rakyat susah,” katanya.


Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan pemotongan peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta dalam usaha mengawal kewangan negara dan langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat.


Ahli Parlimen tanpa mengira parti memberi reaksi negatif terhadap keputusan itu dengan berkata, ia akan menjejaskan perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing, terutama yang berkhidmat di kawasan luas dan luar bandar.


Dalam hantaran itu juga, Syed Saddiq berkata, beliau menemui Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) untuk membincangkan isu seperti ekonomi, gaji dan kuasa pembeli.


Syed Saddiq berkata, BBC saluran betul untuk Ahli Parlimen kerajaan menyuarakan kebimbangan mereka dan membincangkan idea, selain platform baik untuk menyatukan Ahli Parlimen pelbagai parti.


“Kami bersetuju kemajuan negara dan tadbir urus yang baik melangkau politik kepartian,” katanya.

— FMT

Exit mobile version