Site icon Sabah Baru News

200 PTI dihantar pulang ke Filipina

SANDAKAN: 200 pendatang asing tanpa izin (PTI) warganegara Filipina diusir ke negara asal bagi Program Pemindahan Tahanan PTI siri tiga melalui Pelabuhan Sandakan.


Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Papar dan dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City Filipina menggunakan pengangkutan laut.


“Kesemua yang dipindahkan terdiri daripada 145 lelaki, 31 wanita berumur 13 hingga 69 tahun dan 24 kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah sehingga 12 tahun.


“Kanak-kanak yang dihantar pulang membabitkan penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.


“Pengusiran tahanan pada kali ini adalah melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.


Beliau berkata kesemua PTI terbabit ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.


“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.


Sementara itu beliau berkata operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.


“Kita akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PTI yang dijalankan selepas semua PTI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.


“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya kerajaan negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version